Bangunan Medan Ikan Bakar Pt Karang Bangunan Medan Ikan Bakar Pt Karang Bangunan Medan Ikan Bakar Pt Karang
Taman Permainan & Surau Pasar Basah Taman Rekrasi Pt Karang

 

Taraf hidup nelayan pantai dipertingkat 
(Berita Harian, Edisi Johor, Selasa, 11 September 2007)

Oleh Jamaludin Husin

Pusat komersial, jeti konkrit permudah pasarkan ikan, beri peluang keluarga bekerja

MUAR: Nasib kira-kira 85 nelayan pantai di Kampung Parit Karang Laut dekat Tanjung Gading, di sini, terbela berikutan langkah kerajaan membangunkan pangkalan nelayan berkenaan sebagai pusat komersial dan rekreasi sejak lapan bulan lalu.

Projek bernilai RM500,000 yang diluluskan di bawah peruntukan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman itu, termasuk membina jeti bagi keselesaan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka.

Tinjauan Berita Harian ke pangkalan berkenaan mendapati jeti konkrit sepanjang hampir 200 meter itu turut dilengkapkan beberapa kemudahan orang ramai bagi mendapatkan ikan segar hasil tangkapan nelayan di situ.

Sekitar pangkalan berkenaan juga dibina bangunan medan ikan bakar yang memasarkan ikan segar serta makanan laut termasuk udang, sotong, kerang, kepah dan siput sebagai hidangan aneka masakan dalam usaha menarik pengunjung ke kawasan berkenaan.

Projek yang dikendalikan Kumpulan Ekonomi Nelayan Parit Karang itu membangunkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di pantai berkenaan sebagai pusat perniagaan dan rekreasi.

Penasihat kumpulan, Norizan Mahat, berkata bangunan medan ikan bakar mengandungi enam gerai itu menyediakan hidangan hasil tangkapan nelayan secara terus.

Beliau berkata, projek itu juga bertujuan meningkatkan ekonomi nelayan melalui bidang perniagaan dengan memasarkan hasil tangkapan mereka tanpa melalui orang tengah.

"Medan ikan bakar di pangkalan berkenaan yang beroperasi bermula jam 6 petang hingga lewat malam setiap hari kini semakin mendapat sambutan orang ramai termasuk dari luar kawasan.

"Pelbagai usaha dilakukan untuk mempromosikan pangkalan berkenaan termasuk menganjurkan pertandingan karaoke, futsal, gasing dan layang-layang yang menjadi permainan tradisi nelayan sejak zaman berzaman," katanya ketika ditemui di pangkalan berkenaan, baru-baru ini.

Norizan berkata, persekitaran kawasan rekreasi berdekatan pantai di pangkalan itu juga dilengkapkan beberapa alat permainan kanak-kanak bagi kemudahan ibu bapa yang membawa keluarga untuk bersantai dan menjamu selera.

Katanya, orang ramai juga berpeluang menikmati keunikan kawasan rekreasi yang bersifat mesra alam dengan mengekalkan pokok bakau di pesisiran pantai sebagai tempat bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan semula jadi di persekitarannya.

"Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang turut prihatin terhadap nasib nelayan di pangkalan berkenaan turut melengkapkan lampu jalan di jalan masuk sepanjang kira-kira satu kilometer dari Jalan Kesang Laut-Muar, ke kawasan rekreasi dan medan ikan bakar, di situ.

"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menurap jalan berkenaan bagi keselesaan pemandu kenderaan dan orang ramai yang berkunjung ke situ," katanya.

Seorang nelayan, Josri Alwee, 48, berkata pangkalan yang kedudukannya bertentangan dengan Selat Melaka itu juga membolehkan pengunjung melihat kapal dagang yang melalui selat berkenaan pada jarak kira-kira 200 meter dari pantai.

Katanya, ketika menikmati keindahan pemandangan persekitaran, pengunjung berpeluang melihat Pulau Besar, Melaka kerana kedudukannya tidak berapa jauh dari pantai.

Peniaga gerai ikan bakar, Surina Abd Rahim, 24, berkata langkah menjadikan pangkalan itu Medan Ikan Bakar turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada keluarga nelayan termasuk wanita dan remaja.

Beliau percaya Medan Ikan Bakar Nelayan Parit Karang Laut boleh bersaing dengan medan ikan bakar yang diwujudkan di Melaka termasuk Serkam Pantai dan Pernu.

Nelayan tertua di pangkalan itu, Lip Bidin, 64, berkata sejak dibangunkan sebagai pusat komersial dan rekreasi, Kampung Parit Karang Laut semakin dikenali penduduk luar kawasan.

Beliau berkata, pengunjung bukan saja datang dari daerah ini tetapi Batu Pahat, Johor Bahru, Singapura dan Melaka.

 

FAKTA:
Pusat Komersial Kampung Parit Karang Laut
  • Medan Ikan Bakar Parit Karang Laut, Muar, yang dibuka sejak lapan bulan lalu semakin menjadi tarikan pengunjung dari luar kawasan termasuk Batu Pahat, Johor Bahru, Singapura dan Melaka.

  • Projek menelan kos kira-kira RM500,000 yang diluluskan melalui peruntukan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman itu sebagai usaha meningkatkan ekonomi nelayan pantai di negeri ini.

  • Pembangunan di pangkalan itu turut menyediakan kemudahan pengunjung termasuk rekreasi, surau, tandas awam dan tempat meletak kenderaan.

 

Hutan bakau pikat pelancong
(Harian Metro, Edisi Johor, Rabu, 3 Oktober 2007)
Oleh Jamaludin Husin

MUAR: Langkah mengekalkan hutan bakau di kawasan rekreasi Pangkalan Nelayan Parit Karang Laut, dekat Tanjung Gading, di sini, berjaya memikat pengunjung untuk menikmati keindahan pemandangan semula jadi sambil bersantai di pantai berkenaan.

Selain kehijauan daun pokok bakau yang rimbun dan melahirkan udara segar di persekitarannya, akar pokok berkenaan juga jika dipulihara boleh mewujudkan pemandangan semula jadi yang menarik.

Ini kerana akar pokok bakau boleh membentuk pelbagai rupa yang boleh dijadikan permainan kanak-kanak tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan sebaliknya hanya mengekalkan rupa bentuk semula jadi tumbuhan itu.

Seorang nelayan, Lip Bidin, 64, berkata pokok bakau mampu hidup subur di dalam air dan daratan selama beratus tahun tanpa memerlukan sebarang penjagaan khusus daripada manusia.

Beliau berkata, keunikan pokok bakau ialah selain keadaan pokok dan daunnya sentiasa rimbun dan menghijau, akarnya timbul di pangkal pokok membentuk rangka atau jejari.

Sehubungan itu, katanya, langkah membangunkan Pangkalan Nelayan Parit Karang Laut, sejak lapan bulan lalu turut mengambil kira terhadap usaha mengekalkan keindahan semula jadi tanpa memusnahkan hutan bakau di pantai itu.

"Malah segala kemudahan yang disediakan kepada pengunjung dibina berdekatan dengan hutan bakau termasuk tempat meletak kereta.

"Manakala sebahagian besar kawasan rekreasi pula berkonsepkan mesra alam iaitu dibina di tengah kawasan hutan bakau di tepi pantai berkenaan," katanya, di sini, kelmarin.

Lip berkata, pangkalan yang dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan perniagaan sejak lapan bulan lalu itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung termasuk gerai makanan dan gelanggang sukan tradisional iaitu gasing.

Pemaju projek berkenaan, Norizan Mahat, berkata langkah mengekalkan hutan bakau dengan menjadikannya sebagai sebahagian daripada kawasan rekreasi bertujuan mewujudkan suasana persekitaran bersih dan segar.

Beliau berkata, pembangunan pangkalan itu kini menarik pengunjung termasuk dari Singapura yang singgah untuk mendapatkan hasil tangkapan laut secara terus daripada nelayan.

"Selain itu mereka juga berpeluang menikmati makanan laut segar seperti udang, ketam dan kepah hasil tangkapan nelayan di gerai medan selera di pangkalan berkenaan.

"Langkah mengekalkan hutan bakau juga mewujudkan sumber rezeki penduduk tempatan kerana mereka boleh mencari siput yang kebiasaannya memanjat hingga ke dahan pokok berkenaan setiap kali air laut pasang," katanya.

Norizan yang juga penasihat Biro Ekonomi Nelayan pangkalan itu berkata, pangkalan yang semakin mendapat sambutan pengunjung itu mampu menjadi daya tarikan pelancong ke daerah ini.

Beliau berkata, pihaknya bercadang memasang lampu limpah dan lampu berwarna warni di setiap pokok bakau berdekatan pantai bagi mencantikkan pemandangan kawasan itu terutama malam.


< Lihat Kerja-Kerja Pembinaan Medan Ikan Bakar Pt Karang >